Friday, 23 October 2020

𝗗𝗘𝗧𝗜𝗞-𝗗𝗘𝗧𝗜𝗞 𝗪𝗔𝗙𝗔𝗧𝗡𝗬𝗔 𝗞𝗛𝗔𝗗𝗜𝗝𝗔𝗛, 𝗜𝗦𝗧𝗘𝗥𝗜 𝗧𝗘𝗥𝗖𝗜𝗡𝗧𝗔 𝗥𝗔𝗦𝗨𝗟𝗨𝗟𝗟𝗔𝗛.

𝗗𝗘𝗧𝗜𝗞-𝗗𝗘𝗧𝗜𝗞 𝗪𝗔𝗙𝗔𝗧𝗡𝗬𝗔 𝗞𝗛𝗔𝗗𝗜𝗝𝗔𝗛, 𝗜𝗦𝗧𝗘𝗥𝗜 𝗧𝗘𝗥𝗖𝗜𝗡𝗧𝗔 𝗥𝗔𝗦𝗨𝗟𝗨𝗟𝗟𝗔𝗛. 




Siti Khadijah adalah isteri pertama Rasulullah. Orang yang pertama kali beriman kepada ALLAH dan kenabian Rasulullah. Orang yang sangat berjasa bagi dakwah Rasulullah dan penyebaran agama Islam.


Siti Khadijah wafat pada 11 Ramadlan tahun ke 10 kenabian baginda, tiga tahun sebelum Rasulullah berhijrah ke Madinah. Khadijah wafat dalam usia 65 tahun, ketika usia Rasulullah sekitar 50 tahun.


𝗣𝗘𝗥𝗠𝗜𝗡𝗧𝗔𝗔𝗡 𝗧𝗘𝗥𝗔𝗞𝗛𝗜𝗥


Diriwayatkan, ketika Khadijah sakit menjelang kewafatannya, Khadijah berkata kepada Rasululllah SAW,


"Aku memohon maaf kepadamu, Ya Rasulullah, kalau aku sebagai isterimu belum  cukup berbakti kepadamu." 


"Jauh dari itu ya Khadijah. Engkau telah mendukung dawah Islam sepenuhnya," jawab Rasulullah


Kemudian Khadijah memanggil Fatimah Azzahra dan berbisik,


"Fatimah putriku, aku yakin ajalku akan tiba, yang kutakutkan adalah siksa kubur. Tolong mintakan kepada ayahmu, aku malu dan takut memintanya sendiri, agar beliau memberikan serbannya yang biasa untuk menerima wahyu agar dijadikan kain kafanku." 


Mendengar itu Rasulullah berkata,


" Wahai Khadijah, ALLAH menitipkan salam kepadamu, dan telah dipersiapkan tempatmu di syurga."


Ummul mukminin, Siti Khadijah pun kemudian menghembuskan nafas terakhirnya dipangkuan Rasulullah. Rasulullah mendakap Khadijah dengan perasaan pilu yang teramat sangat. Tumpahlah air mata mulia Baginda dan semua orang yang ada disitu.


𝗞𝗔𝗜𝗡 𝗞𝗔𝗙𝗔𝗡 𝗗𝗔𝗥𝗜 𝗔𝗟𝗟𝗔𝗛. 


Saat itu Malaikat Jibril turun dari langit dengan mengucap salam dan membawa lima kain kafan. Rasulullah menjawab salam Jibril dan kemudian bertanya,


"Untuk siapa lagikah kain kafan ini ya Jibril?" 


"Kafan ini untuk Khadijah, untuk engkau ya Rasulullah, untuk Fatimah, Ali dan Hasan jawab Jibril. Jibril berhenti berkata dan kemudian menangis." 


Rasulullah bertanya, "Kenapa, ya Jibril?" 


"Cucumu yang satu, Husain tidak memiliki kafan, dia akan dibunuh dan tanpa kafan dan tidak dimandikan" sahut Jibril.


Rasulullah berkata pada jasad Khadijah,


"Wahai Khadijah isteriku sayang, demi ALLAH, aku takkan pernah mendapatkan isteri sepertimu. Pengabdianmu kepada Islam dan diriku sungguh luar biasa. ALLAH maha mengetahui semua amalanmu." 


"Semua hartamu kau hibahkan untuk Islam. Kaum muslimin pun ikut menikmatinya. Semua pakaian kaum muslimin dan pakaianku ini juga darimu" .


"Namun begitu, mengapa permohonan terakhirmu kepadaku hanyalah selembar serban?" 


Tersedu Rasulullah mengenang isterinya semasa hidup.


Seluruh kekayan Khadijah diserahkan kepada Rasulullah untuk perjuangan agama Islam. Dua per tiga kekayaan Kota Makkah adalah milik Khadijah. Tetapi ketika menjelang wafatnya, tidak ada kain kafan yang bisa digunakan untuk menutupi jasad Khadijah.


Bahkan pakaian yang digunakan Khadijah ketika itu adalah pakaian yang sudah sangat lusuh, dengan 83 tampalan diantaranya dengan kulit kayu.


Rasulullah kemudian berdoa kepada ALLAH.


"Ya ALLAH, ya Ilahi Rabbi, limpahkanlah rahmat-Mu kepada Khadijahku, yang selalu membantuku dalam menegakkan Islam. Mempercayaiku pada saat orang lain menentangku. Menyenangkanku pada saat orang lain menyusahkanku. Mententeramkanku pada saat orang lain membuatku gelisah.

Wahai Khadijah, engkau meninggalkanku sendirian dalam perjuanganku. Siapa lagi yang akan membantuku?"


Tiba-tiba Ali berkata," Aku, Ya Rasulullah!"


𝗣𝗘𝗡𝗚𝗢𝗥𝗕𝗔𝗡𝗔𝗡 𝗦𝗜𝗧𝗜 𝗞𝗛𝗔𝗗𝗜𝗝𝗔𝗛 𝗦𝗘𝗠𝗔𝗦𝗔 𝗛𝗜𝗗𝗨𝗣. 


Dikisahkan, suatu hari ketika Rasulullah pulang dari berdakwah, Beliau masuk ke dalam rumah. Khadijah menyambut, dan hendak berdiri di depan pintu. Ketika Khadijah hendak berdiri, Rasulullah bersabda,


"Wahai Khadijah tetaplah kamu ditempatmu." 


Ketika itu Khadijah sedang menyusui Fatimah yang masih bayi.


Saat itu seluruh kekayaan mereka telah habis. Seringkali makanan pun tidak ada. Sehingga ketika Fatimah menyusu, bukan air susu yang keluar akan tetapi darah. Darahlah yang masuk kedalam mulut Fatimah r.a.


Kemudian Beliau mengambil Fatimah dari gendongan istrinya lalu diletakkan di tempat tidur. Rasulullah yang lelah seusai pulang berdakwah dan menghadapi segala caci maki dan fitnah manusia itu lalu berbaring di pangkuan Khadijah.


Rasulullah tertidur. Ketika itulah Khadijah membelai kepala Rasulullah dengan penuh kelembutan dan rasa sayang. Tidak terasa air mata Khadijah menitis di pipi Rasulullah. Baginda pun terjaga. 


"Wahai Khadijah Mengapa engkau menangis? Adakah engkau menyesal bersuamikan aku, Muhammad?" tanya Rasulullah dengan lembut.


"Dahulu engkau wanita bangsawan, engkau mulia, engkau hartawan. Namun hari ini engkau telah dihina orang. Semua orang telah menjauhi dirimu. Seluruh kekayaanmu habis. Adakah engkau menyesal wahai Khadijah bersuamikan aku, Muhammad?" lanjut Rasulullah tidak sanggup melihat istrinya menangis.


" Wahai suamiku. Wahai Nabi ALLAH. Bukan itu yang kutangiskan." jawab Khadijah.


"Dahulu aku memiliki kemuliaan. Kemuliaan itu telah aku serahkan untuk Allah dan RasulNya. Dahulu aku adalah bangsawan. Kebangsawanan itu juga aku serahkan untuk Allah dan RasulNya. Dahulu aku memiliki harta kekayaan. Seluruh kekayaan itupun telah aku serahkan untuk Allah dan RasulNya."


"Wahai Rasulullah. Sekarang aku tidak punya apa-apa lagi. Tetapi engkau masih terus memperjuangkan agama ini. Wahai Rasulullah. Sekiranya nanti aku mati sedangkan perjuanganmu ini belum selesai, sekiranya engkau hendak menyeberangi sebuah lautan, sekiranya engkau hendak menyebarangi sungai namun engkau tidak mempunyai rakit pun atau pun jambatan.


Maka galilah kuburku, ambilah tulang belulangku. Jadikanlah sebagai jambatan untuk engkau menyeberangi sungai itu supaya engkau bisa berjumpa dengan manusia dan melanjutkan dakwahmu.


ngatkan mereka tentang kebesaran Allah. Ingatkan mereka kepada yang hak. Ajak mereka kepada Islam, wahai Rasulullah."


Kerana itu, peristiwa wafatnya Siti Khadijah sangat menusuk jiwa Rasulullah. Alangkah sedih dan pedihnya perasaan Rasulullah ketika itu karena dua orang yang dicintainya iaitu isterinya Siti Khadijah dan bapa saudaranya Abu Thalib telah wafat.


Tahun itu disebut sebagai Aamul Huzni (tahun kesedihan) dalam kehidupan Rasulullah.


Ilaa hadlratin Nabiyyil musthafa, wa ilaa Khadijah al Kubra, Al-Fatihah. 


Ruj : Kitab Al Busyro, yang ditulis Sayyid Muhammad bin Alwi Al Maliky al Hasani.


Begitu mulia cinta Rasulullah dan ummul mukminin Sayyidatina Khadijah,

Begitu hebatnya perjuangan Baginda berdua dalam menegakkan syiar islam. 

Tepuk dada tanya hati, apakah sumbangan kita untuk islam tercinta?.


Lots Of Love

Kak Mim ♥️.


#1day1000selawatchallange

#day2

#amooraelitcircle

1 comment: